
“Saya ingin dapat bukti dari Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga dan anak-anak,” katanya di Twitter.
“Membuat tuduhan memang mudah. Tetapi tuduhan tidak dibukti dengan jelas, tidak boleh diterima sebagai benar. Ia adalah fitnah.”
Ketika berucap pada Kongres PKR minggu lepas, Anwar merujuk kepada seseorang “yang berkuasa selama 22 tahun dan (kemudian) campur 22 bulan” menggunakan kedudukannya untuk mengayakan dirinya dan keluarga.
Walaupun Anwar tidak menyebut nama Mahathir, beliau juga berkata pemimpin itu hanya merungut tentang orang Melayu kehilangan segala-galanya selepas beliau tidak lagi berkuasa.
Mahathir, yang memimpin negara dalam dua tempoh berlainan, berkata beliau cuba “memulihkan keadaan orang Melayu” apabila menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.
“Tetapi kerajaan PH dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,” katanya.
“Saya mengeluh sekarang kerana kehilangan segala-galanya (dialami) oleh orang Melayu berlaku selepas saya letak jawatan sebagai perdana menteri. Memang pun orang Melayu menjadi begitu miskin selepas saya tidak lagi jadi perdana menteri.”
Mahathir juga berkata beliau berusaha melancarkan ‘Proklamasi Melayu’ untuk “menyedarkan orang Melayu tentang masalah mereka”.
Beliau sebelum ini mengkritik kerajaan kerana didakwa tidak membenarkan acara yang sepatutnya diadakan pada 19 Mac dan berkata, orang Melayu berhak berhimpun dan suara mereka didengari.
Ditanya sama ada beliau tahu siapa yang mengarahkan lokasi acara itu dibatalkan, Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai bukti, tetapi yakin Anwar menjadi dalangnya kerana “tidak ada perkara seperti ini boleh dilakukan tanpa persetujuan atau arahannya”.