
Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan, mengakui kebimbangan berhubung pelantikan Asyraf berasas, namun menggesa pengkritik menganalisa kelayakan dan kredibilitinya terlebih dulu, bukannya dikecam berdasarkan kerjaya politiknya.
“Jika beliau mempunyai kelayakan diperlukan, kemampuan, dan kepakaran melaksanakan tugas baharunya, ia mungkin menjadi contoh duluan positif bagi lantikan politik pada masa depan. Itulah akan berlaku sekiranya beliau memiliki bakat dan pengetahuan,” katanya kepada FMT.
Pelantikan Asyraf sebagai pengerusi Mara mengundang kritikan. Semalam, aktivis anti-rasuah, Edmund Terence Gomez, berkata kerajaan sepatutnya tidak melantik ahli politik Umno mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negara penting itu, sambil menyifatkan ia mencetuskan “banyak persoalan”.
Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata pelantikan terbabit mungkin memberi tanggapan ia merupakan “ganjaran” kepada sokongan Asyraf kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Pemerhati pilihan raya, Bersih, juga mempersoalkan sama ada kerajaan sudah berganjak daripada pendirian berhubung lantikan politik dalam GLC.
Wan Agyl berkata, penting memastikan individu dilantik ke jawatan utama mempunyai kemahiran diperlukan, rekod, dan kelayakan, tanpa mengira hubung kait politik.
Justeru, beliau berkata, ia mampu menangkis “tanggapan kurang senang” lantikan politik secara umumnya memudaratkan.
“Akhirnya, apa yang penting adalah mempromosi ketelusan dan meritokrasi dalam proses pemilihan dalam mengetepikan konotasi negatif melibatkan lantikan politik dalam GLC.
“Ia akan mewujudkan kepercayaan dan keyakinan dalam sistem, membolehkan individu berkemampuan, tanpa mengira hubungan politik mereka, menyumbang pertumbuhan dan pembangunan syarikat ini,” katanya.