Persoal komposisi ahli panel KPKT, warganet kritik mufti Perlis

Persoal komposisi ahli panel KPKT, warganet kritik mufti Perlis

Warganet mengkritik Asri Zainul Abidin supaya tidak melihat faktor kaum dan kepercayaan, sebaliknya kemampuan melaksanakan amanah.

Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mempersoalkan kurangnya wakil Muslim dilantik sebagai ahli panel berkepakaran dalam Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
PETALING JAYA:
Warganet mengkritik ciapan mufti Perlis kerana mempersoalkan kurangnya “masyarakat Muslim” dilantik menganggotai ahli panel berkepakaran di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Warganet berpandangan ciapan Asri Zainul Abidin mempunyai sentimen berbaur perkauman, manakala ada juga bertanggapan faktor kaum tidak sepatutnya menjadi isu untuk panel itu berfungsi.

Asri dalam ciapannya memuatnaik poster memaparkan ahli panel dilantik, yang dipengerusikan menterinya, Nga Kor Ming.

Asri menulis: “Nampaknya masyarakat Muslim negara kita ini kekurangan pakar dalam bidang ini. Benarkah begitu?

Tangkap layar ciapan Asri Zainul Abidin.

Seorang warganet, Fig Chomel, berkata: “Muslim 10 org (orang), Chinese 15 org, India 3 org, diversity (kepelbagaian) dalam bidang hartanah mmg (memang) majoriti dikuasai kaum Cina di Malaysia”.

“Point paling penting adakah depa (mereka) boleh buat kerja bukan warna kulit, ras atau agama. Jika terbukti tak leh (boleh) buat kerja sila kritik. Takyah (tidak payah) main naratif ras,” katanya.

Warganet lain, Lofi Ramli, berkata: “Nak (hendak) tgk (tengok) hasil kerja utk (untuk) masyarakat – boleh buat kerja atau tak”.

“Jika 100% Muslim dalam jawatankuasa, tapi hasilnya hampas cuai & khianat, adakah begitu kehendak Islam?” soal kepada ciapan Asri.

Selain itu, pengguna, akalderang, berkata tidak perlu bagi Asri memainkan naratif kaum, sebaliknya melihat secara realiti industri berkaitan dan pemain utamanya.

“…majoriti pemain utama begitu, maka pengalaman dan pengaruh mereka sangat membantu KPKT, berikan masa untuk buahkan hasil dan bukannya warna kulit,” katanya.

Warganet BernardL, berkata: “Jika ahli panel ni dapat meningkatkan tahap hidup seluruh rakyat malaysia, bukan kah itu satu inisiatif yang baik?”.

“Dan sepatutnya, kita perlu ukur mereka dalam keberkesanan dan perlaksanaan inisiatif ini dan bukan menumpu pada kaum mereka,” katanya.

Katanya, Asri sepatutnya boleh dan melakukan lebih baik berbanding membangkitkan sentimen.

Bagaimanapun, ada juga pengguna bersetuju dengan apa diperkatakan Asri.

FMT sedang mendapatkan ulasan Nga dan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.