Lantikan 28 panel pakar beri nilai tambah inisiatif KPKT

Lantikan 28 panel pakar beri nilai tambah inisiatif KPKT

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata hal ini kerana KPKT memerlukan pandangan dan pengalaman mereka terdiri pelbagai latar belakang.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata 28 POE dilantik adalah bagi membantu pihaknya dalam memantapkan penyampaian berkualiti kepada rakyat. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Pelantikan 28 panel pakar (POE) akan memberikan nilai tambah kepada ikhtiar dan inisiatif akan dilakukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hal ini kerana KPKT memerlukan pandangan serta pengalaman mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Justeru, beliau berkata pelantikan POE tidak seharusnya menimbulkan isu kerana ia bukan suatu perkara luar biasa.

“…kalau sebelum ini POE hanya tertumpu kepada masalah perumahan, tetapi kali ini memang tertumpu kepada tujuh dasar keutamaan KPKT ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program SWM Kasih Back to School.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan 28 POE, baru-baru ini.

Sementara itu, Akmal berkata POE juga memberikan komitmen mereka tanpa bayaran.

“Sebenarnya dari segi komitmen pun tiada bayaran, dia (POE) hanyalah untuk kita dengar pandangan dan juga pengalaman mereka lalui, sebab ada antara mereka adalah bekas korporat, bekas pegawai kerajaan, bomba dan juga pengurusan bandar pintar,” katanya.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming, baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata 28 POE dilantik adalah bagi membantu KPKT dalam memantapkan penyampaian berkualiti kepada rakyat.

Menurut Nga, input serta cadangan dikemuka oleh panel pakar itu akan diketengah dan diteliti kementerian sebelum dibawa ke pertimbangan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap isu berkaitan dapat diselesaikan secara strategik dan teratur.

Antara pakar terlibat adalah daripada institusi seperti Khazanah Research Institute, House Buyers Association (HBA), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Majli Peguam, Persatuan Arkitek Malaysia, Bursa Malaysia Berhad, Association of Bank Malaysia, ahli akademik universiti dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.