Boleh menang faktor utama rundingan kerusi, kata Zahid

Boleh menang faktor utama rundingan kerusi, kata Zahid

Pengerusi BN berkata kemampuan calon untuk menang perlu diutamakan dalam rundingan pengagihan kerusi PRN tahun ini.

Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Chow Kon Yeow menyerahkan sumbangan kepada peserta majlis berbuka puasa di Tasek Gelugor.
TASEK GELUGOR:
Ciri boleh menang perlu menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN berkata, kemampuan calon untuk menang perlu menjadi keutamaan berbanding jumlah kerusi akan diagihkan kepada setiap rakan komponen menjelang persiapan menghadapi PRN.

Enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Terlalu awal untuk kami beri bayangan. Yang penting adalah perundingan mesti berasaskan kebolehmenangan, bukan bertanding untuk mendapatkan jumlah (kerusi) tertentu.

“Tetapi, yang penting adalah menang,” katanya dalam majlis berbuka puasa di Masjid Jamek al-Islah.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai formula pengagihan kerusi BN dan PH.

Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada menteri besar, ketua menteri dan ketua Umno negeri untuk menentukan formula pengagihan kerusi.

Katanya, pemimpin di peringkat nasional seperti dirinya akan mengadakan “rundingan peringkat dasar”.

Beliau turut menyentuh kepentingan keserasian antara pemimpin dua gabungan itu.

“Kami (PH dan BN) perlu mewujudkan keserasian baik dan ia perlu ditapis hingga ke peringkat akar umbi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.