91 penduduk rumah panjang Kanowit pindah akibat banjir

91 penduduk rumah panjang Kanowit pindah akibat banjir

Mereka yang terjejas terdiri penduduk Rumah Nyalong Indet dan Rumah Suzusie Lily Jenau di Nanga Baloh serta Rumah Langong di Nanga Bat.

Banjir dikatakan berlaku semalam apabila hujan turun tanpa henti dari tengah malam hingga pagi di kawasan Ulu Ngemah. (Gambar Bernama)
SIBU:
Seramai 91 orang daripada 30 keluarga rumah panjang di Kanowit terjejas banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna JKKK Ngungun yang dibuka pada 1.30 tengah hari tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, mereka yang terjejas terdiri penduduk Rumah Nyalong Indet dan Rumah Suzusie Lily Jenau di Nanga Baloh serta Rumah Langong di Nanga Bat yang ketiga-tiganya terletak di tepi Sungai Ngemah.

Banjir itu dikatakan berlaku semalam apabila hujan turun tanpa henti dari tengah malam hingga pagi di kawasan Ulu Ngemah dan video kejadian banjir itu tular di media sosial, sebagai cara penduduk meminta bantuan daripada pihak berwajib.

Antara rumah panjang yang turut ditularkan ialah Rumah Jimmy di Nanga Lakah dan penduduknya mengadu rumah mereka ditenggelami banjir selain tidak dapat ke mana-mana berikutan perahu mereka dihanyutkan arus deras.

Turut terjejas Sekolah Kebangsaan Ulu Poi yang ditenggelami banjir setinggi kira-kira 1.2m.

Dalam pada itu, Adun Ngemah, Anyie Jana, turut turun padang melawat rumah panjang yang terjejas bersama pihak berkuasa dan pasukan pusat khidmatnya.

Setakat 6 petang tadi, paras air dilaporkan menunjukkan trend menurun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.