Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

Mangsa berusia 63 tahun itu cedera di dahi dan tapak tangan dengan kerusi meja makan patah dihayun anak lelakinya.

Seorang lelaki berusia 34 tahun direman tiga hari sehingga Isnin susulan dipercayai memukul bapanya menggunakan kerusi meja makan.
PETALING JAYA:
Seorang anak sanggup menghayunkan kerusi terhadap bapanya selepas tidak berpuas hati ditegur kerana laju membaca doa makan ketika hendak berbuka.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 7.45 malam, semalam, pergaduhan anak beranak itu mengakibatkan kerusi meja makan patah dengan mangsa berusia 63 tahun mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan.

Katanya, pergaduhan tercetus antara mangsa dan suspek dapat dileraikan seorang lagi anak mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis.

“Punca kejadian ialah disebabkan suspek yang berpuasa bertindak membaca doa makan dengan laju untuk berbuka puasa dan telah ditegur oleh mangsa.

“Suspek yang tidak berpuas hati akibat ditegur telah menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, polis menangkap suspek berusia 34 tahun, selain merampas barang kes melibatkan kerusi meja makan dipercayai digunakan memukul bapanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Zaid ketika mengulas lanjut, berkata suspek direman selama tiga hari sehingga 27 Mac.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.