
Ketua Polis Setiu, Affandi Hussin, berkata dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, Faizul Azman Awang, 44, dan isterinya, Habshah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak pasangan itu, Muhammad Daniel Dzulkarnain,13, pula parah di bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Affandi berkata, nahas berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang, selepas menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Besut.
“Setiba di lokasi kejadian, Proton Exora dipandu Faizul dipercayai bertembung lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori dan kelindan serta 11 individu daripada tiga kenderaan lain iaitu Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyota Wish tidak mengalami kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan anggota bomba serta dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya.
Affandi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.