
ADUN Perai dari DAP itu, berkata beliau tidak faham dari mana akhbar itu mendapat maklumat, selain menyatakan mahu berkhidmat untuk sepenggal lagi.
Ramasamy berkata, senarai calon berpotensi belum lagi diserahkan kepada pimpinan pusat parti oleh DAP negeri.
“Saya ingin berkhidmat untuk satu penggal lagi dan telah menyatakannya secara terbuka.
“Tiada siapa yang boleh berada dalam kedudukan ini selama-lamanya. Saya serahkan kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pada masa ini, Ramasamy berada di Belanda mengetuai delegasi negeri dalam tugas rasmi.
Ramasamy berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan parti dan kerajaan persekutuan, sambil menambah sikap lantangnya berdasarkan alasan betul, namun tidak bermakna dirinya menentang DAP atau kepimpinan kerajaan.
Laporan The Star pada Rabu, membayangkan beliau akan diminta berundur sebagai sebahagian daripada usaha DAP memperkenalkan wajah baru dalam barisan calonnya.
Ramasamy, 74, yang juga bekas ahli akademik telah berkhidmat selama tiga penggal sejak membuat penampilan sulung pada pilihan raya pada 2008. Pilihan raya itu menjadi detik kejatuhan kerajaan Barisan Nasional di Pulau Pinang, yang berkuasa sejak 1973.
Sebelum menyertai politik, Ramasamy merupakan seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia, sebelum bersara pada Mei 2005.
Beliau kemudiannya mengajar di Jerman dan Singapura sebelum terjun ke politik.