
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata langkah berkenaan memastikan ketelusan, selain menggalakkan persaingan.
“Pengguna akan menerima manfaat kerana mereka boleh memilih perkhidmatan terbaik mengikut keperluan, namun kita berharap paras harga ditetapkan kerajaan dengan jaminan kualiti perkhidmatan. Kami mahu melihat budaya ‘kawtim’ dan tidak baik ditamatkan,” katanya kepada FMT.
Ahli akademik pengangkutan, Farhan Sadullah menggesa kawal selia sewajarnya dilakukan kepada pihak berminat menjadi dalam sektor pemeriksaan kenderaan.
“Selagi mana persaingan memberi nilai terbaik, akhirnya ia membawa manfaat kepada pengguna,” katanya.
Farhan berpandangan keputusan menamatkan monopoli Puspakom ada bersangkutan dengan melaksanakan dasar melupuskan kenderaan usang. “Jika itu sebabnya, kita memerlukan lebih banyak pusat pemeriksaan bagi pemeriksaan tahunan,” katanya.
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamarudin Mohd Hussain, berkata penamatan monopoli terbabit bermakna pemandu teksi tidak lagi perlu berurusan dengan perkhidmatan tidak memuaskan Puspakom, yang disifatkan sebagai “teruk”. Persatuan itu menaungi 45,000 pemandu teksi.
“Berdekad lamanya kami terpaksa berurusan dengan kakitangan tidak mesra, penguji tidak jujur, dan perkhidmatan lembab. Lebih-lebih lagi persekitaran di Puspakom panas, tiada kemudahan asas walaupun kami membayar khidmat mereka.
“Langkah diambil pihak kementerian semestinya memberi manfaat kepada jutaan pemilik kenderaan,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Jemaah Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan akan dibuka kepada semua pihak berkelayakan selepas konsesi Puspakom berakhir, pada 31 Ogos 2024.
Loke berkata, keputusan itu bagi menggalakkan persaingan dalam industri pemeriksaan kenderaan.
Puspakom merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan pertama dan tunggal di Malaysia, yang dilantik kerajaan sejak 1994 bagi menguruskan semua pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial dan persendirian.