KPDN kenal pasti syarikat terlibat monopoli, kata menteri

KPDN kenal pasti syarikat terlibat monopoli, kata menteri

Terdahulu perdana menteri dilaporkan berkata kerajaan mengkaji semula semua monopoli sebagai langkah menyediakan perkhidmatan lebih baik dan adil kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata pihaknya sedia memanggil pemain industri atau pihak berminat tampil menjadi pembekal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti beberapa syarikat bawahnya yang terlibat isu monopoli, kata menteri Salahuddin Ayub.

Tanpa mendedahkan syarikat itu, beliau berkata bagaimanapun KPDN sedia memanggil pemain industri atau pihak yang berminat untuk tampil menjadi pembekal.

“Ini kerana polisi kerajaan sekarang untuk kita buka kepada mereka yang berminat.

“Melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), kita akan pastikan ia memainkan peranan untuk meneliti perkara itu,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud ketika ini sebagai langkah menyediakan perkhidmatan lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos berpatutan.

Beliau berkata, semua kementerian diarahkan mengkaji kewajaran pelaksanaannya untuk penilaian adil terhadap isu itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDN, Azman Adam, menjelaskan isu monopoli akan diteliti kerana ia melibatkan sesuatu syarikat.

“Industri berkaitan telur dan ayam ini sebenarnya ramai pemain (syarikat).

“Berkaitan kenyataan perdana menteri semalam, kita akan melihat sesuatu perniagaan mengungguli dan akan meneliti sedalam-dalamnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.