Kajian semakan akta pengemis selesai September, kata menteri

Kajian semakan akta pengemis selesai September, kata menteri

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata pihaknya akan mengumumkan dapatan kajian itu serta langkah diambil bagi meminda akta berkenaan.

Kajian semakan akta pengemis bermula Julai tahun lalu akan menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan.
KUCHING:
Kajian semakan bagi menambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menangani isu pengemis dijangka selesai September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengumumkan dapatan kajian itu serta langkah seterusnya yang akan diambil bagi meminda akta tersebut.

“Sekarang masih dalam peringkat kajian. Kita juga sedang menambah baik akta berkaitan warga emas sebab itu perlu dilihat secara menyeluruh semua akta yang kita nak pinda itu,” katanya kepada pemberita selepas program Rahmah Ramadan bersama penghuni Desa Bina Diri (DBD).

Tahun lalu, Bernama melaporkan kajian itu yang bermula pada Julai 2022, bakal menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan memandangkan ketika ini tiada punca kuasa serta perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian golongan tersebut di Malaysia.

Nancy juga berkata, pihaknya akan mempertimbang keperluan menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengendali penghuni DBD yang dikategori sebagai pesakit mental.

Ia berikutan statistik DBD Kuching menunjukkan setakat ini, sejumlah 63.1% atau 24 penghuninya adalah pesakit mental yang mendapat rawatan susulan di Hospital Sentosa.

Selain Kuching, terdapat empat lagi institusi menempatkan kes orang papa termasuk pengemis iaitu DBD Mersing di Johor, DBD Jerantut (Pahang), DBD Kota Kinabalu (Sabah) dan Pusat Sehenti Bina Diri Sungai Buloh (Selangor).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.