Halang tugas penjawat awam, warga emas dakwa ‘diserang’ anggota MBPJ disiasat

Halang tugas penjawat awam, warga emas dakwa ‘diserang’ anggota MBPJ disiasat

Polis berkata lelaki itu cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan binatang itu ke dalam premisnya dalam kejadian di Taman Kanagapuram, pada Rabu.

Polis menyiasat seorang warga emas kerana cuba menghalang tugas penjawat awam.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas mendakwa diserang pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika operasi menangkap anjing liar akan disiasat kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Ketua Polis Petaling Jaya Fakhrudin Abdul Hamid, berkata hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan binatang itu ke dalam premisnya dalam kejadian di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, pada Rabu.

Katanya, penguatkuasa cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis, namun pasukan operasi gagal melaksanakan tugas kerana dihalang.

“Terjadi pergelutan antara pasukan penangkap anjing dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan lelaki itu terkena batang rod menangkap anjing.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

Fakhrudin berkata, operasi tangkapan anjing liar dijalankan susulan aduan orang ramai diterima MBPJ.

Semalam, MBPJ memberi jaminan tidak akan melindungi kakitangannya jika terbukti bersalah dalam insiden “menyerang” seorang warga emas ketika operasi menangkap anjing liar.

Pihak berkuasa tempatan itu, berkata kes itu sedang disiasat jawatankuasa siasatan dalaman.

“MBPJ menegaskan tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan, seandainya benar dan terbukti (individu itu) telah melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.