
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat ke premis pengguna selepas sistem bekalan air distabilkan.
Menurutnya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi esok, namun berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” menurut Air Selangor menerusi hantaran di Facebook.
Air Selangor semalam memaklumkan sebanyak 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam mengalami gangguan bekalan air bermula 10 malam ekoran pelaksanaan kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.