DBKL tutup 16 kedai makan kotor

DBKL tutup 16 kedai makan kotor

Pemeriksaan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di 64 premis makanan Rabu lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memeriksa sebuah kedai makan yang kotor Rabu lalu.(gambar Facebook DBKL)
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan 16 kedai makan ditutup berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan.

Dalam catatan di Facebook, DBKL berkata 60 notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL), Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (4), manakala Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, dan Akta Kerajaan Tempatan 1976, masing-masing satu kompaun.

Pemeriksaan terhadap semua premis itu dilakukan Rabu lalu.

DBKL berkata, kesalahan dilakukan premis makanan itu termasuk meletakkan meja dan kerusi di siar kaki lima, dinding dapur tidak bersih, tanda najis tikus dan lipas di kawasan dapur, mencuci pinggan di belakang premis serta gagal mempamerkan lesen perniagaan sah.

Semua premis makanan itu terletak di Jalan Sri Bintang, Taman Salak Selatan, Jalan Leboh Ampang, Jalan Kancil, Jalan Waras 1, Jalan Sarjana dan Bangsar Village.

DBKL berkata, sebanyak 64 premis dilawati dalam “Operasi Sepadu Bersih” membabitkan 32 anggota kesihatan yang menjalankan pemeriksaan.

Katanya, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengendali premis mematuhi syarat ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.