
Bekas menteri pengangkutan itu membuat laporan di Balai Polis Cheras pada 1 pagi semalam terhadap Deepak Jaikishan.
Ia menyusul tempoh tiga hari yang diberikan kepada ahli perniagaan itu untuk membuat laporan polis berhubung penafiannya pernah menghubungi Wee sebanyak dua kali pada 13 Mac lalu. Deepak bagaimanapun tidak berbuat demikian.
“Memandangkan Deepak tidak membuat laporan polis, maka saya mengambil keputusan untuk berbuat demikian,” kata presiden MCA itu dalam catatan di Facebook.
Wee berkata, beliau tidak mahu nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) digunakan mana-mana individu bagi melakukan perkara tidak senonoh dan berbaur ugutan terhadap mana-mana ahli Dewan Rakyat.
“Oleh itu, saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini.”
Wee, Deepak dan syarikat pengimport telur ayam dari India, J&E Advance Tech Sdn Bhd, terpalit kontroversi berhubung isu import telur.
Bekas menteri pengangkutan itu mendakwa Deepak menggunakan nama PMO dalam panggilan telefonnya untuk meminta beliau menarik balik kenyataan di Dewan Rakyat berhubung pengimportan telur ayam dari India.
Bagaimanapun, Deepak dipetik Malaysiakini menafikan beliau menghubungi Wee kerana beliau tiada nombornya.
Syarikat itu mengeluarkan dua surat tuntutan kepada Wee yang didakwa secara tidak langsung menjejaskan perniagaan mereka kerana kenyataan wee menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna berhubung kualiti telur import.