Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain, kata Sultan Ibrahim

Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain, kata Sultan Ibrahim

Sultan Johor yakin kepercayaan orang Islam 'kukuh dan tidak goyah'.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, di Johor, orang Islam dan bukan Islam saling hormat menghormati antara satu sama lain. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Sultan Johor berkata orang Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

“Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” kata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam wawancara The Star.

Sultan Ibrahim berkata tiada sebarang isu mengenai keharmonian agama di negeri itu kerana semua rakyat menerima konsep “Bangsa Johor” yang mempromosikan kepelbagaian bangsa dan agama serta toleransi, perpaduan, dan persefahaman.

“Inilah yang dilakukan di Johor. Kami menghormati orang bukan Islam dan mereka juga menghormati orang Islam,” titahnya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melawat rumah ibadat agama lain bukan satu masalah di negeri itu kerana kebanyakan penduduknya termasuk beliau sendiri belajar di sekolah mubaligh.

Katanya, melawat gereja atau kuil tidak menyebabkan seseorang itu ‘kurang Islam’ dan ia juga tidak menyebabkan kepercayaan mereka berubah.

Karim mengulas kecaman terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ekoran pembabitan kementerian dalam program “Jom Ziarah Gereja”.

Dalam perkembangan berasingan, Sultan Ibrahim bertitah, baginda dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bekerja dengan baik.

“Saya boleh kata (hubungan kerja) lebih baik berbanding mana-mana perdana menteri sebelum ini.

“Kami berbincang antara satu sama lain dan bertukar-tukar pendapat bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.