
Sidang tiga hakim dipengerusikan Azizah Nawawi berkata, terdapat merit dalam rayuan itu dan mahkamah membenarkan sebahagiannya.
Keluarga Shamil Hafiz Shapiei, Hairul Nizam Tuah, dan Hanafi Omar kini mendapat ganti rugi berjumlah RM210,000 berbanding RM500,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi dua tahun lalu.
Sidang yang turut dianggotai Hakim S Nantha Balan dan Zaini Mazlan turut mengetepikan award RM100,000 untuk ganti rugi am kepada waris mangsa.
Ia digantikan dengan award RM10,000 untuk ganti rugi kematian.
Azizah berkata, mahkamah juga mengetepikan award RM100,000 untuk ganti rugi tauladan dan tambahan RM100,000 diberi kepada setiap keluarga mangsa dengan alasan jumlah sama diberikan sebagai ganti rugi untuk kecuaian di pejabat awam.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan award RM100,000 untuk setiap keluarga sebagai ganti rugi kerosakan teruk.
Peguam Zaid Malek yang mewakili ketiga-tiga keluarga itu berkata, waris Hairul dan Hanafi masing-masing menerima ganti rugi tambahan RM11,200 dan RM8,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi dalam tuntutan berasingan, yang tidak disentuh Mahkamah Rayuan.
Peguam Kanan Persekutuan Noerazlim Saidil mewakili kerajaan.
Bayaran ganti rugi itu diberikan selepas mahkamah memutuskan polis bertanggungjawab atas kematian mangsa dalam satu kejadian tembakan di Glenmarie pada 13 Nov 2010.
Hairul dan Hanafi berusia 22 dan 21 tahun ketika kejadian manakala Shamil berusia 15 tahun.