Kerajaan akan perinci pembangunan Wakaf Madani

Kerajaan akan perinci pembangunan Wakaf Madani

Sebelum ini perdana menteri ketika pembentangan belanjawan berkata kerajaan akan mewujudkan Wakaf Madani dengan aset bernilai RM1 bilion.

Anwar Ibrahim berkata peruntukan RM1 bilion Wakaf Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, akan diperincikan dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengumumkan langkah yang bakal diambil bagi memajukan usaha membangunkan wakaf.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perincian itu meliputi peruntukan RM1 bilion Wakaf Madani seperti yang diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini.

“Dalam masa terdekat kita boleh umumkan cara lebih terencana apakah maksud Wakaf Madani, apakah langkah-langkah yang harus lakukan untuk memajukan kegiatan wakaf keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 yang disiarkan secara dalam talian.

Ketika membentangkan belanjawan baru-baru ini, Anwar berkata kerajaan akan mewujudkan Wakaf Madani dengan aset bernilai RM1 bilion.

Ia terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf dengan objektif wakaf menyumbang 20% pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

“Bagi memastikan objektif keseriusan kerajaan, saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa nasional ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menggalakkan umat Islam, sama ada individu, persatuan, atau syarikat melihat inisiatif wakaf sebagai tradisi yang mesti dihidupkan.

“Jadi saya percaya dengan ikhtiar tambahan ini, kita dapat semarakkan lagi (wakaf) kerana selagi ikhtiar ini diteruskan terutamanya dalam bulan Ramadhan, kita tentunya meningkatkan usaha amal jariah, sedekah, dan wakaf,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.