
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching membalas dakwaan Shahidan Kassim (PN-Arau) bahawa penstriman langsungnya di TikTok ketika beliau berbahas di Dewan Rakyat semalam disekat sementara.
Shahidan mendakwa ia disekat selepas kementerian mengadakan libat urus dengan TikTok.
“Saya nak menegaskan bahawa KKD tiada pengetahuan mengapa TikTok live YB Arau ditutup semalam masa perbahasan beliau.
“Saya rasa tuduhan beliau bahawa TikTok live stream beliau ditutup sebab KKD mengadakan kolaborasi dengan platform media sosial itu adalah tidak bertanggungjawab.
“Kalau beliau memang berani, bolehlah keluar ke Dewan dan ulang sekali lagi tuduhan beliau supaya tindakan undang-undang boleh diambil,” kata Teo dalam ucapan penggulungannya.
Teo turut membidas Shahidan atas sikap tidak wajarnya menyalahgunakan prosiding Dewan Rakyat.
Beliau bertanya kepada Shahidan, sebagai “juara kebebasan bersuara”, di mana wakil rakyat itu ketika beliau disiasat polis tahun lalu kerana hantaran yang dikongsinya pada 2017.
“Mengapa beliau tidak pertahankan saya (ketika itu)? soal Teo.