
Menteri pengangkutan berkata, pihaknya berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia serta mengambil pendekatan serius dari segi laporan siasatan tersebut, malah ia juga telah pun disiapkan oleh Jabatan Laut.
“Laporan ini masih kita teliti di peringkat kementerian dan kita akan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Peguam Negara. Tiada masalah untuk membuka laporan ini untuk perhatian atau dijadikan laporan terbuka kepada orang ramai,” kata Loke semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sejauh mana kerjasama kerajaan dengan pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06.
Dalam pada itu, Loke menafikan ada unsur pengabaian mahupun soal kos perbelanjaan yang dipertimbangkan dalam operasi mencari kapal yang dilaporkan hilang berkenaan.
“Memang pihak kita bersungguh-sungguh mencari. Saya rasa dan yakin kepada agensi kita bahawa tiada soal dari segi kos yang dipertimbangkan. Ini nyawa manusia, kita bukan lihat kepada kos tersebut.
“Tak benar mengatakan kita mengabaikan operasi mencari dan menyelamat kapal tersebut. Memang saya telah mengarahkan pihak Jabatan Laut untuk terus melakukan pemantauan secara serius serta memastikan bahawa misi diteruskan bersama pihak berkuasa Indonesia,” katanya menjawab soalan tambahan Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung perbelanjaan operasi mencari kapal tersebut.
18 Jan lalu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan kapal itu.
Pada 9 Jan, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari sama.
Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 14 Jan, selepas semua usaha dilaksanakan tidak menemukan sebarang petunjuk.
Zubil juga berkata siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun membawa muatan batang paip pada hari berkenaan.