Individu tiada tauliah tak boleh mengajar di surau, masjid P Pinang

Individu tiada tauliah tak boleh mengajar di surau, masjid P Pinang

MAINPP turut melarang penganjuran sebarang majlis oleh parti politik atau NGO berkaitan politik.

Individu memegang jawatan politik, termasuk yang menjadi calon pilihan raya dalam tempoh lima tahun dilarang memimpin solat, menyampaikan khutbah atau ceramah atau merasmikan apa-apa program anjuran masjid dan surau, kecuali ahli MAINPP.
GEORGE TOWN:
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melarang individu tiada tauliah atau tidak mendapat kebenarannya untuk mengajar, menyampai atau menerangkan mengenai agama Islam, termasuk berceramah dan membaca khutbah di masjid serta surau di negeri ini.

Setiausaha MAINPP, Samsudin Bakar, berkata arahan ketetapan tatacara penggunaan masjid dan surau di Pulau Pinang itu berkuat kuasa serta-merta, seperti pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

“Ketetapan tatacara itu selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004 dan Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid 1997.

“MAINPP menegaskan jawatankuasa kariah atau surau boleh menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, tazkirah, kuliah, perkongsian ilmu dengan memenuhi syarat yang digariskan.

“Solat fardu lima waktu dan solat sunat berjemaah seperti tarawih hanya dibenarkan untuk diimamkan oleh imam lantikan atau dibenarkan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.

MAINPP turut menetapkan setiap khatib bertugas hendaklah membaca sepenuhnya teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tanpa ditokok tambah atau dipinda.

Samsudin berkata, khatib jemputan dilarang menyampaikan khutbah, melainkan mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, setiap kuliah yang disampaikan tidak boleh menyentuh isu politik kepartian dan sensitiviti kaum atau agama, selain perlu menjaga adab sopan dari segi bahasa penyampaiannya.

“Selain itu, tidak dibenarkan mengedar, menjual, menggantung, menampal atau memacak sebarang bentuk penerbitan mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak di bangunan masjid atau surau serta perkarangannya.”

Beliau berkata, orang bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan keizinan pihak pengurusan masjid dengan syarat menjaga perlakuan serta tingkah laku agar tidak mencemarkan kesucian masjid dan surau.

Menurutnya, ketetapan itu turut menggariskan individu memegang jawatan politik, termasuk mereka yang menjadi calon pilihan raya dalam tempoh lima tahun dilarang memimpin solat, menyampaikan khutbah atau ceramah atau merasmikan apa-apa program anjuran masjid dan surau, kecuali ahli MAINPP.

“MAINPP turut melarang penganjuran sebarang majlis oleh parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.