Harga siling minyak di pam akan bantu peniaga, kata PDAM

Harga siling minyak di pam akan bantu peniaga, kata PDAM

Pengenalan subsidi bersasar mendedahkan peniaga petrol kepada pelbagai ragam perubahan harga, yang hanya boleh dielakkan dengan menetapkan harga siling.

Harga semasa bagi minyak di pam ialah RM2.05 seliter untuk RON95, RM2.15 untuk diesel Euro5 B10 dan RM2.35 untuk diesel Euro5 B7. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Apabila kerajaan memulakan rasionalisasi subsidi bermula dengan pengubahsuaian kadar elektrik, subsidi petrol kembali menjadi topik hangat dibincangkan.

Bagi peniaga petrol, had harga minyak di pam penting untuk memastikan mereka terus mendapat margin yang sama, iaitu 15 sen seliter.

“Harga siling semasa bagus untuk kami,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar kepada FMT Business, sambil menambah ia adalah perlindungan untuk perniagaan mereka.

Kadar diskaun pedagang (MDR), yang dibayar oleh peniaga untuk pembelian menerusi kad kredit atau debit serta e-dompet, menjadi punca masalah.

Ditetapkan pada 1% daripada harga minyak di pam, semakin tinggi harga minyak meningkat, semakin banyak MDR perlu dibayar peniaga. Ini memakan potongan 15 sen mereka, yang tetap.

Harga minyak di pam ditetapkan setiap minggu. Harga semasa ialah RM2.05 seliter bagi RON95, RM2.15 bagi diesel Euro5 B10 dan RM2.35 bagi diesel Euro5 B7.

Harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik (APM), yang mengambil kira kadar penyejatan dan potongan peniaga.

Harga RON97 juga ditetapkan oleh APM tetapi tiada peruntukan subsidi kerajaan. Akibatnya, kata Khairul, peniaga selalunya mengalami kerugian apabila menjual RON97.

Jalan penyelesaian

Khairul menzahirkan kebimbangan bahawa tanpa had, harga minyak di pam boleh naik setinggi RM4 seliter. Pada 1%, MDR akan berjumlah empat sen, yang banyak mengurangkan keuntungan mereka.

“Semakin tinggi harga minyak di pam, semakin tinggi caj MDR. Namun pendapatan kami (peniaga petrol) tetap pada 15 sen seliter,” katanya.

Harga pam boleh ubah hanyalah satu aspek masalah yang dihadapi peniaga dalam proses rasionalisasi subsidi petrol.

Apa langkah seterusnya?

Berhubung mekanisme rasionalisasi subsidi, kesulitan timbul dalam butirannya.

Pelbagai model telah dikemukakan, dengan kapasiti enjin dan pendapatan peribadi menjadi kriteria paling popular.

Bagaimanapun, PDAM menegaskan bahawa kereta berkapasiti enjin lebih tinggi biasanya dipandu oleh ahli kumpulan B40 lebih berusia, yang sepatutnya mendapat manfaat daripada subsidi tetapi mungkin ditolak berdasarkan saiz kereta.

“Tanpa model yang tepat, sukar untuk menentukan siapa yang layak (menerima subsidi) berdasarkan perbezaan ini,” kata Khairul.

Peniaga berkata, kaedah yang lebih baik adalah kerajaan memberikan wang tunai terus kepada mereka yang layak mendapat subsidi petrol.

Khairul turut menolak cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia supaya MyKad digunakan untuk menentukan siapa yang layak menerima subsidi.

“Ia akan memanjangkan masa transaksi dan menjadikan penyampaian perkhidmatan kurang efisien,” katanya.

Selain menyemak identiti mereka, peniaga juga perlu memastikan pelanggan tidak melebihi kuota. Peniaga juga perlu mengemas kini pangkalan data subsidi selepas setiap transaksi.

Ini boleh mengambil masa dari 30 saat hingga tiga minit.

Khairul berkata, lebih baik jika kerajaan memberikan wang tunai terus kepada penerima yang disasarkan pada setiap awal bulan.

“Terpulang kepada mereka untuk menguruskan perbelanjaan pada bulan itu,” katanya.

Beliau berkata, ini juga akan menghapuskan ketirisan yang mungkin berlaku apabila barangan sama dijual pada harga berlainan kepada pelanggan berbeza.

Sebagai alternatif, katanya, kerajaan boleh memperkenalkan harga minimum untuk melengkapkan harga maksimum.

Sebarang lebihan tunai yang diperoleh apabila harga pasaran menurun bawah harga lantai boleh dimasukkan ke dalam dana penstabilan, cadang Khairul.

Dana itu kemudiannya boleh digunakan sebagai subsidi apabila harga naik semula, tambahnya.

Khairul berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga ada melibatkan PDAM dalam satu kajian.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu Kementerian Kewangan dan ekonomi untuk tampil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.