
Ini kerana, titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sisa makanan daripada berbuka puasa merupakan penyumbang terbesar pembaziran makanan pada bulan Ramadan.
“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir,” titah baginda dalam catatan Facebook Istana Negara.
Awal bulan ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilaporkan berkata, lebih 75,000 tan metrik makanan mungkin dibazirkan sepanjang Ramadan ini.
Menurut laporan itu, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari sepanjang bulan puasa.
Sultan Abdullah turut menyeru umat Islam meneguhkan lagi ketakwaan dan menggandakan ibadah serta amalan, selain meningkatkan ibadah sunat dan amalan kebajikan, mengukuhkan ukhuwah sesama insan serta meninggalkan perbuatan sia-sia dan merugikan.
Baginda mengajak umat Islam mendoakan Malaysia terus dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman serta musibah.