
Harian Metro melaporkan peniaga, Mohamed Hafiz Ibrahim dan isterinya, Intan Hafiezah Roslan, masing-masing berusia 35 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di depan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Mereka didakwa menipu Muhammad Syafiq Bashir Ahmed, 32, untuk mempercayai 4,245 papan telur akan dihantar pada 2 Jan lalu hingga mendorongnya memasukkan RM52,990 secara berperingkat ke akaun CIMB Bank milik isteri tertuduh, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian, jika tidak diperdaya.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di Lot 942, Simpang Ampat antara 13 Dis 2022 hingga 3 Jan lalu dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hafiz turut didakwa mengikut Seksyen 170 dan 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota tentera berpangkat kapten dan berpakaian menyerupai pakaian digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menipu mangsa sama.
Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu di Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd di Alor Gajah, Melaka pada 5 petang 13 Dis lalu.
Dalam pada itu, tertuduh didakwa menyamar peguam untuk menipu peniaga, Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43, bagi menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap mangsa hingga mendorongnya memasukkan RM3,000 ke akaun isteri tertuduh dari 16 hingga 21 Dis lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Simpang Ampat pada 16 dan 21 Dis lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat.
Dalam prosiding sama, Intan didakwa menerima RM3,000 dalam tempoh 16 hingga 21 Dis lalu, tetapi tidak dapat menjelaskan bagaimana wang itu diperolehinya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan Hafiz dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM15,500 dan Intan RM6,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
Sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan 5 Mei ini.