Saya masih Ahli Parlimen BN, tak rancang lompat parti, kata Shahelmey

Saya masih Ahli Parlimen BN, tak rancang lompat parti, kata Shahelmey

Shahelmey Yahya berkata, beliau hanya digantung keahlian, bukannya dipecat Umno.

Minggu lalu, Umno menggantung keahlian Shahelmey Yahya selama enam tahun kerana enggan mematuhi arahan parti dalam usaha menyingkirkan Ketua Menteri, Hajiji Noor awal tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Shahelmey Yahya berkata, beliau masih Ahli Parlimen dan Adun Barisan Nasional (BN) walaupun keahliannya dalam Umno digantung enam tahun.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, tiada rancangan untuk melompat parti kerana beliau hanya digantung keahlian, bukannya dipecat Umno.

Tetapi, Adun Tanjung Keramat itu berkata, setakat ini, beliau belum menerima surat rasmi daripada Umno Pusat berhubung keputusan penggantungan keahliannya.

“Status sebagai Ahli Parlimen masih sah seperti yang dikenakan terhadap Hishammuddin Hussein, apabila digantung keahlian bukan bermakna dipecat keahlian.

“Saya masih ahli Umno dan wakil rakyat atau Ahli Parlimen BN. Cuma sekiranya saya membuat keputusan untuk bertukar parti untuk kerusi Parlimen, ia akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat berkaitan Akta Anti Lompat,” katanya menurut Sinar Harian.

Minggu lalu, Umno menggantung keahlian Ahli Parlimen Putatan itu enam tahun kerana enggan mematuhi arahan parti dalam usaha menyingkirkan Ketua Menteri, Hajiji Noor awal tahun ini.

Shahelmey antara empat Adun Umno yang memutuskan untuk menyokong Hajiji, selepas Umno Sabah menarik sokongan terhadapnya.

Tiga lagi Adun adalah Arsad Bistari (Tempasuk), Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan James Ratib (Sugut).

James dan Jasnih kemudiannya keluar Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.