
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan RimbaWatch, dulunya dikenali Rimba Disclosure Projek yang mengeluarkan hasil kajian bertajuk “Negeri Hutan Hujan Malaysia 2023”, pada 20 Mac.
“Itu nanti menteri (Nik Nazmi) akan respons lebih lanjut,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.
Kajian “Negeri Hutan Hujan Malaysia 2023” mengandungi pengumpulan dan analisis data mengenai penebangan hutan lalu dan berpotensi pada masa hadapan.
RimbaWatch pada mulanya menganalisis aktiviti penebangan hutan berdasarkan data kehilangan liputan hutan Global Forest Watch (GFW), menganggarkan antara 2017 dan 2021, Malaysia menebang hutan seluas 349,244 hektar, dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan paling tinggi.
Daripada analisis itu, dianggarkan 2,346,601 hektar lagi hutan di Malaysia didakwa diperuntukkan untuk penebangan.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan memberi komitmen untuk memastikan kawasan dalam negara mesti sekurang-kurangnya diliputi 50% hutan.
“Ini memastikan tidak akan buat penebangan, malahan penanaman semula digiatkan. Sebab itu tubuhkan ‘hutan komoditi’ boleh tanam pokok-pokok (untuk) digunakan,” katanya.