KPT bangun pelan tindakan martabat bahasa Melayu di IPTA

KPT bangun pelan tindakan martabat bahasa Melayu di IPTA

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Yusof Apdal berkata Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu (PTMBM) itu dijadikan wadah memperkukuh peranan Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Yusof Apdal berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh di pelbagai peringkat dalam memartabatkan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu (PTMBM) 2023-2030 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan menterinya, Yusof Apdal, berkata pelan tindakan itu adalah inisiatif kementerian memartabatkan bahasa Melayu di IPTA.

“KPT sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang dijalankan di pelbagai peringkat dalam memartabatkan bahasa Melayu terutama di institusi pendidikan tinggi (IPT) dan usaha ini tidak terhad kepada penguatkuasaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).

“Di bawah PTMBM ini empat objektif utama yang digariskan adalah membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding bahasa asing,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang ingin tahu sejauh mana KPT bersetuju menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan di IPT terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, Yusof berkata, pengiktirafan terhadap ahli akademik yang memberikan sumbangan berimpak tinggi dalam memartabat bahasa Melayu turut diberikan di peringkat kementerian.

“Ini termasuklah pemberian Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu bermula tahun 2012, dalam mengangkat usaha memartabat bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.