
Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu berkata SPRM sedang menjalankan siasatan ke atas aduan yang dibuat kepada badan anti-rasuah itu.
“Setakat ini kertas siasatan berkenaan masih belum dirujuk kepada peguam negara untuk penelitian bagi melihat sama ada wujud perlanggaran mana-mana undang-undang dan mendakwa mana-mana pihak yang berkaitan di mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, menerusi jawaban bertulis kepada soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Wakil rakyat PAS itu ingin tahu apakah tindakan yang diambil kerajaan bagi menyiasat dakwaan campur tangan Thomas dalam isu pelantikan hakim.
Menurut laporan kerajaan yang didedahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada Oktober tahun lepas, Thomas semasa menjadi peguam negara mahu perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, “menurut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang” dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Thomas dalam laporannya berkata, beliau mempunyai “kepentingan yang kuat” dalam pelantikan hakim.
Menurut pasukan itu, Thomas menulis bahawa hakim Mahkamah Rayuan lemah dalam undang-undang komersial, dan kepakaran sedemikian hanya boleh didapati dalam kalangan mereka yang aktif mengamalkan undang-undang.