Kedudukan universiti Malaysia naik dalam ranking QS ikut subjek

Kedudukan universiti Malaysia naik dalam ranking QS ikut subjek

Ranking 2023 itu menganalisis prestasi 210 program ditawarkan lapan universiti Malaysia.

Universiti Teknologi Petronas mencapai peningkatan paling banyak di dunia, dengan 10 atau lebih subjek disenaraikan.
PETALING JAYA:
Universiti Malaysia mencapai tahap baharu dalam Quacquarelli Symonds’ (QS) World University Rankings mengikut subjek.

Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul institusi mencapai peningkatan paling banyak di dunia, dengan 10 atau lebih subjek, yang keseluruhan pencapaiannya meningkat sebanyak 82%.

Ia adalah satu daripada hanya lapan universiti di dunia dengan 10 atau lebih banyak penyertaan yang tidak mengalami penurunan dalam subjeknya.

Ranking 2023 menganalisis prestasi 210 program ditawarkan lapan universiti Malaysia, dengan 56 daripadanya mencapai peningkatan, 53 mengalami penurunan dan 90 tidak berubah. Sebelas program disenaraikan buat julung kali.

Selain UTP, tujuh universiti lain ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Taylor’s University.

UM ialah institusi terkuat di Malaysia secara keseluruhan, dengan 36 subjek disenaraikan, termasuk 15 subjek dalam kalangan 100 teratas dunia.

Dari segi jumlah subjek disenaraikan, USM dan UKM menyusul UM, masing-masing dengan 24 subjek.

Antara yang menjadi tumpuan termasuk UTP dalam senarai 20 universiti teratas di dunia. Ia berada di tangga ke-16 untuk kejuruteraan petroleum susulan peningkatan dalam akademik dan reputasi majikan.

Taylor’s University turut berada dalam senarai 20 institusi di dunia yang mencapai peningkatan paling banyak, dengan 10 atau lebih subjek disenaraikan. Ia menunjukkan peningkatan 42% tahun ke tahun dengan tiga subjeknya dalam kalangan 100 program teratas.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) naik sembilan kedudukan ke tangga ke-19 dalam kalangan 20 universiti teratas dunia yang menawarkan pengajian teologi, ketuhanan dan agama.

Naib Presiden Kanan QS, Ben Sowter dalam kenyataan berkata, Malaysia kini mencapai markah lebih tinggi daripada purata dalam semua petunjuk QS, kecuali reputasi akademik.

“Oleh itu, pelaburan lanjut dan pengantarabangsaan diperlukan untuk menyokong pembangunan Malaysia seterusnya, di samping pelaburan sasaran berterusan dalam infrastruktur penyelidikan untuk memastikan komuniti akademik antarabangsa mengiktiraf kemajuan ini,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.