Jangan jadi macam Trump, Guan Eng beritahu Muhyiddin

Jangan jadi macam Trump, Guan Eng beritahu Muhyiddin

Pengerusi PN itu dikaitkan seperti bekas presiden AS, Donald Trump, yang dikatakan gemar berkempen secara 'menipu, kebencian, dan ketakutan'.

Lim Guan Eng berkata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sepatutnya berhenti memainkan sentimen ‘tidak sihat’ menjelang pilihan raya negeri.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, mahu Muhyiddin Yassin menghentikan sentimen “tidak sihat” menjelang PRN susulan tuduhan dibuat bekas perdana menteri itu melibatkan pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, taktik seperti itu mesti dihentikan, jika tidak ia akan terus dimainkan sehingga PRN.

“(Jika anda) mahu kempen, tolong berkempen berdasarkan fakta. Jangan jadi macam Donald Trump, berkempen berdasarkan pembohongan,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi terhadap Muhyiddin.

Lim berkata, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sepatutnya melakukan kempen bersih dan positif, “bukan berdasarkan penipuan, kebencian, dan ketakutan”.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahan Lim, sambil menyatakan beliau tidak membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan, sebagaimana didakwa Muhyiddin.

Selepas Muhyiddin membuat dakwaan berkenaan, Lim mengancam menyaman Ahli Parlimen Pagoh itu kerana kenyataan “menghasut” seolah-olah mahu menggambarkan menteri bukan Islam membatalkan pengecualian cukai terhadap pertubuhan amal Muslim.

Bagaimanapun, katanya “kerosakan sudah berlaku” memandangkan rakyat mempercayai Muhyiddin “tidak kira sejauh mana penjelasan diberikan bagi menolak tuduhan itu”.

Katanya, beliau dijadikan “bogeyman” dalam perkara itu. “Ini betul-betul tidak adil bagi saya,” katanya memaklumkan beliau tidak mempunyai pilihan selain membuat laporan polis terhadap presiden Bersatu kerana gagal menyokong dakwaannya.

“Jelas Muhyiddin mahu perkara ini dimainkan untuk menyemarak sentimen ‘tidak sihat’. Saya serahkan kepada polis menyiasat hal ini,” katanya.

Lim berkata, beliau juga akan memfailkan saman sivil terhadap Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.