
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata beliau yakin keenganan kerajaan menggunakan undang-undang menangani retorik sedemikian adalah kerana ingin menunjukkan ia komited kepada keterbukaan.
Beliau merujuk kepada ciapan penganalisis politik, James Chin dari University of Tasmania, yang mendakwa menjelang pilihan raya negeri, Perikatan Nasional mungkin akan menggunakan naratif berikut menyerang kerajaan:
- Pengaruh LGBT semakin meluas di bawah kerajaan perpaduan;
- Kristian tersebar dengan Islam terancam;
- Melayu hilang kuasa; dan
- Tuduhan rasuah terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin merupakan pendakwaan politik.
Awang Azman berkata, retorik diperkatakan itu semakin berleluasa dan menambah kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang bagi menangani dakwaan sedemikian, “sebelum terlambat”.
“Sebagai contoh, memainkan isu berkaitan kaum, agama, dan institusi raja sepatutnya dilarang menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada FMT.
Katanya, isu berkenaan sudah pun dimainkan dan berkemungkinan sudah “sampai ke tahap ekstrem” kepada pihak yang ingin meraih keuntungan politik.
Bercakap kepada FMT, Chin berkata: “Kerajaan mesti berusaha menjadikan ekonomi Malaysia lebih makmur bagi menunjukkan kerajaan pelbagai kaum berfungsi dan tidak membawa kemudaratan terhadap kepentingan Melayu dan Islam.”
Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, dan Kedah akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terhadap cubaan “meniupkan kebencian kaum dan agama”, sambil menyatakan beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa berwaspada.
Kenyataan Anwar itu dibuat di tengah-tengah siasatan polis terhadap blogger Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran di Facebook, mengaitkan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan Kristian evangelis.