Usah jadikan NDA alasan, dedah kerugian vaksin luput, gesa bekas ketua PAC

Usah jadikan NDA alasan, dedah kerugian vaksin luput, gesa bekas ketua PAC

Wong Kah Woh berkata, Kementerian Kesihatan menjadikan perjanjian tanpa pendedahan yang ditandatangani dengan pengeluar vaksin untuk tidak mendedahkan kos setiap dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 2,796,638 dos stok vaksin Covid-19 pelbagai jenama yang disimpan di gudang simpanan dan fasiliti Kementerian Kesihatan luput setakat 28 Feb lalu.
KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan secara terperinci jumlah kerugian dan kos bagi setiap dos vaksin Covid-19.

“Saya berasa terkilan dengan jawapan yang diberikan kerana setiap kali apabila kita sentuh berkenaan harga vaksin ataupun perolehan vaksin, tentulah jawapan yang kita dapat adalah berkenaan perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani dengan pengeluar vaksin.

“(Ia) digunakan sebagai satu ‘shield’ untuk melindungi pihak kementerian daripada memberikan satu angka sebenarnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Taiping itu berkata, beliau pernah meneliti NDA itu ketika mengetuai PAC pada Jan 2021 dan mendapati kerajaan menggunakannya untuk tidak mendedahkan harga setiap dos vaksin Covid-19.

“Sekiranya, kita ‘lump sum’ semua jenama dos vaksin – itu tidak akan menjejaskan apa yang terkandung dalam NDA,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, sebanyak 2,796,638 dos stok vaksin Covid-19 pelbagai jenama yang disimpan di fasiliti KKM dan gudang simpanan luput setakat 28 Feb lalu.

Jumlah itu, katanya, merangkumi 3.27% daripada keseluruhan vaksin yang diterima kerajaan, termasuk sumbangan pelbagai pihak.

“Kerajaan terikat dengan NDA, di mana maklumat terperinci setiap perjanjian tidak boleh didedahkan, termasuklah harga vaksin,” katanya ketika menjawab soalan Wong semalam berhubung jumlah kerugian ditanggung kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.