
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mencadangkan simpanan persaraan itu boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata kerajaan sedang memuktamadkan inisiatif untuk membenarkan ahli KWSP menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan institusi perbankan.
“Inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islam) yang dikenakan bank-bank yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka antara 4% hingga 5%.”
Katanya, kadar itu jauh lebih rendah daripada kadar pasaran untuk pinjaman, iaitu sekitar 8% hingga 15%.
Menurutnya, inisiatif itu tidak melanggar Seksyen 51 Akta KWSP 1998 kerana simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.
“Maklumat terperinci inisiatif ini akan diumumkan KWSP kelak.”
Sebelum ini, Anwar mencadangkan simpanan KWSP dijadikan cagaran kepada pencarum yang ingin mendapatkan pinjaman kecemasan, berikutan gesaan berulang kali daripada pembangkang dan kumpulan lain untuk membenarkan pengeluaran selanjutnya.
Cadangan itu dikritik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Sarawak.