Rumah Mampu Milik Johor hanya boleh dijual selepas 10 tahun, kata exco

Rumah Mampu Milik Johor hanya boleh dijual selepas 10 tahun, kata exco

Dasar baharu itu bertujuan memastikan rumah mampu milik disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri tidak disalahgunakan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata berkata jika ada cubaan untuk menjual unit RMMJ sebelum tempohnya, pertukaran nama dalam geran tidak boleh dibuat.
ISKANDAR PUTERI:
Pemilik Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000 ke bawah hanya dibenarkan menjual kediaman mereka kepada pihak ketiga selepas tempoh 10 tahun dari tarikh pembelian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor, berkata dasar baharu itu bertujuan memastikan rumah mampu milik disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, dasar itu terpakai untuk RMMJ bagi kategori A berharga RM50,000, B (RM100,000) dan C (RM150,000).

“Dasar lama membenarkan rumah RMMJ dijual kepada pihak ketiga selepas lima tahun, tetapi mulai 1 Jan 2023 dasar baharu menetapkan boleh dijual selepas 10 tahun. Kita telah pun memulakan operasi pemeriksaan sejak tahun lepas untuk memastikan tiada mana-mana pihak menyalahgunakan kemudahan tersebut.

“Jika ada cubaan untuk menjual unit RMMJ sebelum tempohnya, pejabat tanah boleh menghalang urus niaga itu ‘legally’, iaitu pertukaran nama dalam geran tidak boleh dibuat,” kata Jafni kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) yang ingin mengetahui langkah mengatasi projek perumahan bermasalah di Johor ketika persidangan berkenaan, Jafni berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pemaju projek perumahan swasta bagi membela nasib pembeli hartanah.

Jafni berkata, setakat ini terdapat 33 projek perumahan sakit, manakala lapan projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri ini.

“Projek sakit dan terbengkalai ini di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri. Tetapi jika ada pemaju yang mahu minta bantuan kita alu-alukan sebab kita ada PDRC (Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk) melibatkan saya sebagai pengerusi, pejabat tanah dan galian, pihak berkuasa tempatan serta agensi lain termasuk Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Air Johor.

“Jadi, projek seperti ini, pemaju perlu ada inisiatif untuk datang kepada pihak kerajaan negeri dan memaklumkan isu serta permasalahan dihadapi mereka, selepas mereka berbuat demikian barulah kerajaan negeri dapat membantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.