
Badrul Hisham Shaharin daripada Bersatu, lebih dikenali sebagai Chegubard, semalam mendakwa polis menyembunyikan siasatan kerana pegawai bukan Islam yang menyiasat dakwaannya bahawa Yeoh menggunakan program “Jom Ziarah” untuk menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam.
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, memberitahu FMT pegawainya, tanpa mengira kaum dan agama, menjalankan siasatan adil dan saksama.
“Dakwaan itu palsu, dan ia adalah kebetulan semata-mata.
“Polis menjalankan siasatan yang adil, dan kaum pegawai itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kami,” katanya.
Beh berkata, pegawai kanan yang majoritinya Melayu turut memantau siasatan.
Bercakap kepada pemberita di luar balai polis Sentul semalam, Badrul mendakwa tindakan menggunakan pegawai bukan Islam untuk menyiasat dakwaannya adalah disebabkan “tekanan pihak atasan”.
Badrul memberitahu Malaysiakini bahawa laporan polis Yeoh terhadapnya diserahkan kepada seorang inspektor Cina, manakala laporannya terhadap menteri itu diberikan kepada seorang inspektor India.
Minggu lalu, pembantu Yeoh membuat laporan polis terhadap Badrul selepas dia mengaitkan Impact Malaysia, sebuah NGO bernaung bawah kementerian Yeoh, dengan dakwah Kristian.
Impact Malaysia menganjurkan program lawatan ke sebuah gereja di Klang Ahad lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif “Jom Ziarah”.
Ia dibatalkan susulan kontroversi menyelubunginya.
Badrul kemudian membuat laporan polis terhadap Yeoh, menuduhnya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program itu.
Yeoh mendedahkan umat Islam dilarang menyertai program itu.
Polis juga menyiasat Badrul kerana melakukan fitnah jenayah.