Penjawat awam jadi sukarelawan banjir dianggap tugas rasmi, kata JPA

Penjawat awam jadi sukarelawan banjir dianggap tugas rasmi, kata JPA

Ketua Pengarah JPA Zulkapli Mohamed berkata mereka juga akan dilindungi skim bayaran ex-gratia untuk bencana bagi kakitangan kerajaan.

Konvoi 153 kenderaan dilepaskan dari Putrajaya pagi tadi untuk program dua hari pasca banjir di Johor.
PETALING JAYA:
Seramai 1,520 penjawat awam di seluruh negara yang menawarkan diri menyertai program dua hari pasca banjir di Johor akan dianggap menjalankan tugas rasmi, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menerusi satu surat pekeliling, Ketua Pengarah JPA, Zulkapli Mohamed, berkata ini bermakna penjawat awam terbabit akan menerima semua elaun dan kelayakan lain bawah peraturan kerajaan.

“Mereka juga akan dilindungi oleh skim bayaran ex-gratia untuk bencana bagi kakitangan kerajaan,” katanya dalam pekeliling dilihat FMT.

Zulkapli berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat pasca Jemaah Menteri Jabatan Perdana Menteri Jumaat lalu, sambil menambah semua ketua jabatan dan agensi mesti memastikan tuntutan oleh sukarelawan terbabit diproses.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelepasan konvoi 153 kenderaan, terdiri daripada 26 bas, 16 van, lapan lori, 64 pacuan empat roda dan 39 kereta, yang digerakkan untuk operasi itu.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada penjawat awam yang sudi mengambil bahagian dalam program pasca banjir di Johor.

Selain membersihkan kawasan terjejas, sukarelawan akan menyerahkan bakul makanan, keperluan asas sekolah dan peralatan pembersihan.

Mereka juga akan membantu dengan pembaikan kecil kenderaan dan kerja elektrik, serta memberikan sokongan psikologi dan kaunseling.

Anwar berkata, mangsa di Segamat dan Batu Pahat, yang paling teruk dilanda banjir, sukar untuk pulih melainkan mereka diberi bantuan tambahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.