Pengeluaran KWSP: Kerajaan tak guna pendekatan populis

Pengeluaran KWSP: Kerajaan tak guna pendekatan populis

Menteri ekonomi berkata jika kerajaan memilih pendekatan populis kerana mahu adakan PRN dan membenarkan pengeluaran, langkah itu akan memberi impak buruk kepada kemampuan KWSP.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kiri) meninjau mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam. (Gambar Bernama)
KUALA SELANGOR:
Kerajaan tidak akan mengamalkan pendekatan populis dengan mempertimbangkan sekali lagi pengeluaran simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, pengeluaran wang tersebut akan mengurangkan saiz dana itu secara mendadak dan memberi impak buruk kepada kemampuan dan fleksibilitinya, justeru, mengehadkan strategi pilihan pelaburan sehingga memberi kesan terhadap pembayaran dividennya kepada pencarum.

“Sekiranya kita menempuhi situasi pasaran yang mencabar pada 2023 dan 2024, kita perlu mempunyai satu dana yang sama-sama berdaya tahan dan teguh supaya kita dapat melindungi kebanyakan daripada pencarum KWSP yang pada asasnya merupakan pencarum kecil,” katanya pada sidang media.

“Jika kerajaan memilih pendekatan yang populis kerana kita mahu mengadakan pilihan raya negeri dan membenarkan pengeluaran tersebut, langkah itu akan memberi impak buruk kepada kemampuan KWSP untuk menguruskan dananya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengambil langkah bersifat populis demi kebaikan negara pada masa hadapan walaupun mendapat tekanan hebat daripada segelintir rakyat.

“Tiada langkah bersifat populis. Kita sudah melalui fasa pentadbiran demi pentadbiran yang membuat keputusan untuk mendapat sambutan dan ‘like’ di TikTok dan Facebook, dan kesannya kita merasainya sekarang,” katanya.

Terdahulu, Rafizi melancarkan tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang pertama beroperasi di institut pengajian tinggi iaitu di Universiti Teknologi Mara Puncak Alam di sini.

Beliau berkata, sebanyak 100 mesin layan diri akan diletakkan di tempat awam dan beberapa lokasi yang mendapat permintaan seperti di stesen transit aliran ringan dalam tempoh sebulan.

“Inisiatif IPR ini adalah antara usaha kerajaan dalam menggalakkan persaingan sihat antara peniaga dan tidak bergantung kepada suntikan dana daripada kerajaan semata-mata,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.