Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 7.1%

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 7.1%

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam meningkat 20%, sama dengan kategori tiga, empat dan lima.

Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 2% pada ME 11 berbanding ME 10, manakala peratus pengisian katil unit rawatan rapi pula meningkat 1%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 7.1% pada minggu epidemiologi (ME) ke-11, yang bermula dari 12 Mac hingga 18 Mac, berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan duake hospital awam meningkat 20%, sama juga dengan kategori tiga, empat dan lima.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 2% pada ME 11 berbanding ME 10, manakala peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pula meningkat sebanyak 1%.

“Jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat sebanyak 0.1% setakat ME 11,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dari 25 Jan 2020 (ME 4) hingga 18 Mac 2023 (ME 11), kumulatif kes baharu Covid-19 ialah sebanyak 5,047,040 kes, kumulatif kes sembuh (5,000,457 kes), kumulatif kes kematian (36,972 kes) dan kumulatif kluster sebanyak 7,173 dengan dua kluster aktif.

Hisham memaklumkan, bilangan kes sembuh pada ME 11 menurun 13.7% iaitu 1,423 kes kepada 1,228 kes manakala bilangan kes baharu meningkat 18% iaitu 1,566 kes kepada 1,848 kes berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, purata kes aktif setiap hari bagi ME 11 adalah sebanyak 9,481.

Hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara hingga ME 11 mendapati 22 sampel penyakit seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 manakala sebanyak 3.13% jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dikesan positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.