Bersuara jika dibuli, MMA beritahu doktor

Bersuara jika dibuli, MMA beritahu doktor

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, doktor tidak perlu menderita dalam diam dan harus mengadu kepada MMA atau Kementerian Kesihatan.

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, kakitangan kesihatan yang mengalami gangguan seksual perlu membuat laporan polis.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kakitangan kesihatan tanpa mengira pangkat bersuara, jika dibuli.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, mereka yang dibuli perlu membuat laporan kepada talian bantuan HelpDoc MMA atau sistem pelaporan aduan MyHelp Kementerian Kesihatan supaya tindakan boleh diambil.

“Jangan takut kepada rakan sekerja senior atau pengurusan hospital, buat laporan dan jika ada gangguan seksual, laporkan kepada polis.

“Anda tidak perlu menderita dalam diam. Keadaan hanya akan bertambah baik apabila anda bertindak dan membuat laporan,” katanya dalam kenyataan.

Muruga berkata demikian susulan laporan portal berita kesihatan, CodeBlue mendakwa doktor pelatih dibuli rakan sekerja senior di jabatan obstetrik dan ginekologi Hospital Sungai Buloh.

CodeBlue berkata, ia menerima surat berhubung cara pegawai perubatan membuli doktor pelatih, dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengarahkan siasatan disegerakan selepas menerima aduan itu.

Walaupun MMA memuji tindakan pantas Zaliha, Muruga berkata, persatuan itu berharap cadangan dibuatnya dalam pertemuan tertutup bulan lalu untuk menamatkan buli di kemudahan kesihatan awam akan dilaksanakan.

Katanya, MMA mencadangkan semua ketua jabatan di kemudahan kesihatan awam bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang tindakan buli yang berlaku dalam jabatan mereka.

“Kami turut mencadangkan doktor pelatih tidak kerja melebihi waktu bekerja untuk mengelakkan mereka terlebih kerja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.