Perhalusi cadangan tubuh MRSM berbayar, Asyraf beritahu Mara Corp

Perhalusi cadangan tubuh MRSM berbayar, Asyraf beritahu Mara Corp

Pandangan itu disuarakan Asyraf Wajdi Dusuki ketika taklimat khas pengurusan kanan Mara Corp pagi tadi.

Asyraf Wajdi Dusuki percaya wujud permintaan oleh ibu bapa golongan berada yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM.
PETALING JAYA:
Mara Corp diminta memperhalusi cadangan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga pengerusi Mara berkata, pandangan itu disuarakannya ketika taklimat khas daripada pengurusan kanan Mara Corp, iaitu cabang perniagaan dan pelaburan agensi berkenaan pagi tadi.

“Saya mengemukakan pandangan yang saya perolehi daripada ramai pihak, mencadangkan agar diwujudkan juga MRSM berbayar dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan Mara Corp.

“Namun, saya tegaskan ia tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM itu sendiri termasuklah kurikulum Ulul Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara,” katanya di Facebook.

Asyraf berkata, beliau percaya wujud permintaan oleh ibu bapa golongan terbabit yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM bahkan sanggup menanggung kosnya walaupun berkemampuan menghantar ke sekolah elit swasta antarabangsa.

Katanya, ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan unik dan berkualiti tinggi.

“Justeru saya minta Mara dan Mara Corp memperhalusi cadangan ini secara holistik bagi memenuhi segmen masyarakat seperti ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pandangan mengenai keperluan untuk Mara Corp sentiasa mencari peluang pelaburan dan perniagaan  memberikan pulangan serta impak sosial yang tinggi, sesuai dengan mandat Mara itu sendiri.

“Pada masa sama turut menitikberatkan soal tadbir urus yang tinggi serta barakah dalam melaksanakan mandat kita,” katanya.

Usul pembinaan MRSM berbayar dicadangkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada 2016.

Ismail yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah ketika itu dilaporkan berkata, beliau menerima banyak permintaan ibu bapa berpendapatan tinggi yang mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Bagaimanapun, pada 2018 kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak meneruskan cadangan itu memandangkan ia dilihat lari daripada matlamat asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.