Kita bukan nak ‘bunuh’ Touch ‘n Go, kata Loke

Kita bukan nak ‘bunuh’ Touch ‘n Go, kata Loke

Sistem pembayaran terbuka, termasuk menggunakan kad kredit atau debit untuk membuat pembayaran ketika menaiki pengangkutan awam akan dilaksanakan dalam beberapa bulan lagi.

Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bagi pengangkutan awam bukan untuk ‘menamatkan’ Touch ‘n Go. (Gambar myrapid)
PETALING JAYA:
Sistem pembayaran terbuka untuk pengangkutan awam, khususnya di bawah Prasarana Malaysia Bhd, akan dilaksanakan dalam beberapa bulan lagi, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Dengan pelaksanaan sistem itu, katanya, selain Touch ‘n Go, pengguna boleh menggunakan kad kredit atau debit membuat pembayaran ketika menaiki pengangkutan awam.

“Ini untuk memberi pilihan kepada pengguna selain menggunakan Touch ‘n Go,” katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam berhubung monopoli Touch ‘n Go yang mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, kenyataan perdana menteri bukan bermaksud perkhidmatan Touch ‘n Go akan ditamatkan.

“Kita bukan nak tamatkan Touch ‘n Go, jangan kata macam kita nak bunuh Touch ‘n Go. Cuma Touch ‘n Go akan jadi salah satu (pembayaran) daripada satu-satunya sekarang,” katanya sambil menambah pengguna turut merungut tiada pilihan lain dalam pembayaran untuk pengangkutan awam dan lebuh raya.

Loke berkata, perdana menteri mengarahkan perkara itu dibincangkan dalam Kabinet dan ia memerlukan penyelesaian segera bagi membuka ruang kepada sistem pembayaran lain.

Untuk pengangkutan awam, katanya, beliau mengarahkan agensi berkaitan, termasuk operator di bawah Kementerian Pengangkutan mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka.

Beliau berkata, Prasarana diarah melaksanakan sistem pembayaran terbuka dan mereka memerlukan masa untuk mengintegrasikan sistem.

Sistem pengangkutan awam di bawah Prasarana, termasuk perkhidmatan bas, transit aliran ringan (LRT), dan transit aliran massa (MRT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.