Kawasan 100 kali ganda KL ditetap untuk penebangan, kata kumpulan alam sekitar

Kawasan 100 kali ganda KL ditetap untuk penebangan, kata kumpulan alam sekitar

RimbaWatch berkata kawasan lebih 2.3 juta hektar itu juga lebih luas daripada gabungan Perak, Pulau Pinang dan Melaka.

Antara 2017 dan 2021, Malaysia menebang hutan seluas 349,244 hektar dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan paling tinggi, kata Rimbawatch. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kawasan seluas 100 kali ganda lebih besar daripada saiz Kuala Lumpur diperuntukkan untuk penebangan hutan, menurut kajian oleh kumpulan alam sekitar.

RimbaWatch, yang dulunya dikenali Rimba Disclosure Projek, mengeluarkan hasil kajian bertajuk “Negeri Hutan Hujan Malaysia 2023” yang mana ia mengumpul dan menganalisis data mengenai penebangan hutan yang lalu dan berpotensi pada masa hadapan.

Kumpulan itu pada mulanya menganalisis aktiviti penebangan hutan berdasarkan data kehilangan liputan hutan Global Forest Watch (GFW), menganggarkan antara 2017 dan 2021, Malaysia menebang hutan seluas 349,244 hektar, dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan paling tinggi.

Menggunakan data dikumpul daripada peta rasmi perhutanan, penyahkajian hutan simpan, penerangan projek, penilaian kesan alam sekitar (EIA) risiko hutan yang diluluskan dan platform lain, RimbaWatch kemudian menganalisis 438 amaran mengenai kawasan berisiko penebangan hutan pada masa hadapan melalui pengezonan tanah berhutan untuk penggunaan bukan hutan dan penyenaraian hartanah bagi tanah berhutan.

“Daripada analisis kami, dianggarkan 2,346,601 hektar lagi hutan di Malaysia diperuntukkan untuk penebangan,” katanya dalam kenyataan.

“Keluasan 2,346,601 hektar yang diperuntukkan untuk penebangan hutan adalah seluas 100 kali ganda saiznya daripada Kuala Lumpur dan lebih besar daripada saiz gabungan Perak, Pulau Pinang dan Melaka. Jika ia adalah negeri sendiri, ia akan menjadi yang keempat terbesar di Malaysia selepas Pahang.”

RimbaWatch berkata, kajian mereka adalah yang pertama dalam usaha mengenal pasti pemacu ekonomi penebangan hutan masa lalu dan masa depan, anggaran statistik untuk penebangan hutan pada masa hadapan, dan menyediakan penilaian keseluruhan tadbir urus perhutanan – semuanya pada skala nasional.

Ia berkata, ladang kayu adalah pemacu terbesar penebangan hutan masa lalu yang boleh dikenal pasti dari 2017 hingga 2021. Ia menyumbang 41.6% daripada penebangan hutan, diikuti ladang kelapa sawit, yang bertanggungjawab untuk 15.5%.

Katanya, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyenaraikan liputan hutan Malaysia 2017 adalah 18,332,583 hektar, iaitu 55.52% daripada jumlah keluasan tanah negara.

Bagaimanapun, RimbaWatch menganggarkan liputan hutan Malaysia boleh berkurangan kepada 15,636,737 hektar, atau 47.35% daripada jumlah keluasan tanah negara, pada masa hadapan.

“Ini adalah bawah komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50% daripada tanahnya sebagai perlindungan hutan.

“Ia juga menyerlahkan kekurangan pemantauan terpusat proaktif bagi kelulusan berkaitan penebangan hutan dan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan serius terhadap komitmen itu,” kata RimbaWatch.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.