Teliti sebaiknya sebelum benar guna kanabis, kata PM

Teliti sebaiknya sebelum benar guna kanabis, kata PM

Anwar Ibrahim berkata setiap keputusan berhubung kebenaran penggunaan kanabis bagi perubatan perlu menyeluruh kerana membabitkan masa depan belia

Anwar Ibrahim berkata kerajaan membuka ruang sepenuhnya untuk membincangkan kebenaran penggunaan kanabis bagi perubatan di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu membuat penelitian sebaiknya sebelum membenarkan penggunaan kanabis khususnya bagi perubatan di negara ini.

Beliau berkata ini kerana perkara itu turut membabitkan masa depan golongan belia dan setiap keputusan diambil perlu menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pakar.

“Di Thailand antara yang menggagaskan (melaksanakan) halal kanabis. Itu pun tidak ada konsensus. Di sini pun kita harus teliti betul-betul.

“Sebaik kita halalkan dengan hujah kuat juga, kita boleh kawal anak muda di kampung umpamanya yang menjadi penagih ini bukan sekadar ambil sedikit atau sebagainya.

“Jadi, kita harus teliti secara keseluruhannya. Saya ada pandangan keras tentang itu. Saya minta kita buka ruang dan bincang dengan betul-betul implikasinya,” katanya menjawab soalan berhubung kebenaran penggunaan kanabis untuk perubatan pada program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023) hari ini.

Ogos lepas, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja di Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi perubatan, di samping melihat kerangka undang-undang berkaitan.

Khairy dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji pengalaman Thailand untuk disesuaikan dengan konteks di Malaysia, sebelum memutuskan sama ada membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Dalam perkembangan lain Anwar berkata, kerajaan menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa selagi ia tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pihak membangkitkan isu perkauman atau agama yang menggugat keharmonian negara.

“(Mahasiswa) boleh jadi aktivis (perjuangkan hak mahasiswa) tetapi jangan jadi macai (atau) walaun.

“Saya hendak pastikan kerajaan perpaduan dengan warga Madani tidak menyekat sekiranya sesiapa ingin bercakap tentang perjuangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.