Kerajaan Anwar diktator, kata Dr M selepas program ‘Proklamasi Melayu’ batal

Kerajaan Anwar diktator, kata Dr M selepas program ‘Proklamasi Melayu’ batal

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan tidak membenarkan orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati atau mengkritik kerajaan.

Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun tiada bukti siapa yang mengarahkan dua venue menarik balik kebenaran menganjurkan perhimpunan itu, beliau yakin Anwar Ibrahim adalah dalangnya.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad mengecam kerajaan kerana bersikap “diktator” selepas program “Proklamasi Melayu” menampilkan bekas perdana menteri itu yang dijadual hari ini dibatalkan.

Mahathir mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan program itu berlangsung dan berkata, orang Melayu ada hak untuk berkumpul dan suara mereka didengari.

“Ini adalah kerajaan diktator kerana tidak benarkan orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati atau mengkritik kerajaan.

“Tetapi ketika mereka menjadi pembangkang, mereka setiap minggu mengadakan demonstrasi,” katanya dalam satu sidang media.

Tambahnya, beliau mungkin pernah digelar sebagai diktator ketika pemerintahannya, tetapi beliau berundur sebagai perdana menteri atas kerelaan sendiri.

“Diktator mana yang hendak letak jawatan?,” soalnya yang merujuk apabila beliau meletak jawatan pada 2003 dan sekali lagi pada 2020.

Semalam, penganjur dilapor memutuskan untuk menangguhkan acara itu selepas dua lokasi yang ditempah membatalkan tempahan itu. Kira-kira 300 peserta dijangka menghadiri acara itu.

Mahathir juga mempersoalkan mengapa kerajaan ketika ini sangat takutkan orang Melayu sehingga tidak membenarkan mereka berkumpul.

Katanya, orang Melayu ketika pemerintahan penjajah British dahulu diberi lebih hak untuk bersuara, berkumpul dan membentuk parti politik.

“Kerajaan sekarang diketuai Melayu tetapi mahu mendiamkan Melayu,” katanya yang merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.