
Pengerusinya, Mohamad Salim Fateh Din berkata, peringatan tersebut dibuat susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.
“Ucapan berbaur kebencian, merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama, mahupun kewarganegaraan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik, membabitkan unsur 3R.
Mohamad Salim berkata, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan penguatkuasaan bersama polis akan diambil terhadap mereka yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Salim turut menggesa pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan, untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.
“Pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai segera melaporkan, jika terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun elemen 3R, melalui portal aduan SKMM ; talian aduan 1800-188-030; WhatsApp di 016 2206 262; atau e-mel ke [email protected].
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/,” katanya.