
Loke berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Mahathir yang tidak mencerminkan statusnya sebagai bekas perdana menteri dan negarawan.
Mahathir baru-baru ini mendakwa orang Melayu tidak lagi menguasai politik dan ekonomi negara, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mampu melindungi kepentingan komuniti itu.
“Kalau cintakan negara ini sepatutnya beliau gunakan pengaruh yang ada untuk membantu negara menarik lebih banyak pelaburan asing dan bukannya mainkan sentimen perkauman,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen DAP Pulau Pinang.
Loke yang berkhidmat sebagai menteri pengangkutan ketika Mahathir menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari Mei 2018 hingga Mac 2022 berkata, bekas perdana menteri itu tidak patut menggunakan isu perkauman untuk menyerang kerajaan perpaduan kerana kerajaannya sebelum ini turut diserang isu sama oleh pembangkang.
“Sebab itu saya kecewa beliau menggunakan sentimen seperti itu sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata, rundingan pengagihan kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) tidak akan meminggirkan MCA dan MIC.
“Kerjasama dalam kerajaan perpaduan adalah antara gabungan dengan gabungan iaitu PH dengan BN. Ia bukannya antara parti secara individu.
“Kami jangkakan setiap parti komponen dalam gabungan mempunyai wakil dalam sebarang rundingan,” katanya.
Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh empat bulan lagi.