4 bahasa sukuan di Sarawak pupus

4 bahasa sukuan di Sarawak pupus

Pengarah DBP Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata bahasa sukuan Seru, Pegu, Bliun dan Lelak kini tidak lagi dituturkan.

Abang Haliman Abang Julai berkata bahasa sukuan itu pupus dituturkan kerana penuturnya sudah berhijrah, sudah kahwin campur dan sebagainya kemudian masyarakatnya semakin hilang. (Gambar Wikipedia)
KUCHING:
Sebanyak empat bahasa sukuan telah pupus dituturkan etnik di Sarawak, menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Sarawak.

Pengarah DBP Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata mengikut penyelidik, bahasa sukuan yang pupus itu ialah Seru, Pegu, Bliun dan Lelak.

“Mungkin penuturnya sudah berhijrah, sudah kahwin campur dan sebagainya kemudian masyarakatnya semakin hilang,” katanya selepas penangguhan Bengkel Kerja Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS) 2023.

Abang Haliman berkata DBP Sarawak akan bekerjasama dengan persatuan kaum etnik di Sarawak dalam usaha merakam dan mendokumentasikan bahasa sukuan yang hampir pupus ketika ini.

Jelasnya, secara terperinci beliau tidak mempunyai jumlah bahasa sukuan yang hampir pupus di Sarawak ketika ini tetapi percaya antaranya ialah bahasa suku Kejaman dan juga Lakiput.

“Jadi yang hadir di sini (PDUBSS 2023) ada wakil-wakil dari etnik (sukuan) itu, mereka dapat berkongsi istilah perkataan dan kita cuba rakam dan simpan dalam pangkalan data kita,” katanya.

Katanya, pihaknya merakamkan keseluruhannya sebanyak 5,000 hingga 6,000 perkataan bahasa sukuan Sarawak dalam pangkalan data terbabit pada tahun ini.

Abang Haliman berkata di samping menghasilkan kamus bahasa terbabit, pihak DBP di Kuala Lumpur juga akan mengambil dan membincangkan perkataan itu untuk disesuaikan dalam bahasa kebangsaan.

“Harapan kita supaya setiap etnik khususnya di Sarawak ini ada perkataan-perkataan (sukuan mereka) dimasukkan dalam bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi kita,” katanya.

Beliau berkata ini supaya sekitar 30 kaum etnik di Sarawak yang ada banyak bahasa sukuan dapat merasakan bahasa kebangsaan itu juga milik mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.