Terpulang kerajaan negeri benar program ‘Jom Ziarah Gereja’, kata menteri agama

Terpulang kerajaan negeri benar program ‘Jom Ziarah Gereja’, kata menteri agama

Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri tentang perkara tersebut kerana ada khilaf yang berlaku.

Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar berkata, ada perbezaan pandangan mengenai program ‘Jom Ziarah Gereja’ dan beliau menghormati (keputusan) di peringkat negeri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan untuk membenarkan pelaksanaan Program ‘Jom Ziarah Gereja’ tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri, kata Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar.

Oleh itu, Mohd Na’im berkata beliau menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri tentang perkara tersebut.

“Sebab perkara ini ada khilaf yang berlaku, ada perbezaan pandangan di situ dan saya menghormati (keputusan) di peringkat negeri.

“Oleh sebab itu, ada negeri yang melarang dan ada yang membenarkan (program Ziarah Gereja),” katanya kepada pemberita pada majlis Townhall Ikon Nasional peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebelum ini media melaporkan Pulau Pinang tidak melarang mana-mana pihak menganjurkan program yang mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri itu bagi memahami agama lain, selagi tidak bercanggah dengan akta dan enakmen sedia ada.

Bagaimanapun Jabatan Agama Islam Selangor melarang perkara tersebut di negeri berkenaan.

Program ‘Jom Ziarah Gereja’ adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Selasa lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak membabitkan individu beragama Islam.

Pada majlis Townhall Ikon Nasional itu, Na’im turut menyerahkan bantuan awal pendidikan kepada 850 penuntut institusi pengajian tinggi meliputi bantuan tunai, komputer riba dan beg keperluan asas berjumlah RM8 juta.

Program anjuran Yayasan Prihatin Nasional dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Bank Rakyat itu merupakan program perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh ternama yang berjaya dalam bidang masing-masing dengan pelajar IPT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.