Rujuk MAIPk berkait lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, kata MB

Rujuk MAIPk berkait lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, kata MB

Saarani Mohamad berkata langkah itu perlu berikutan MAIPk terlibat secara langsung dalam menentukan garis panduan berhubung perkara berkenaan.

Menteri Besar Saarani Mohamad meminta pihak berkenaan merujuk Jawatankuasa MAIPk terdiri pelbagai pihak termasuk mufti mengenai lawatan rumah ibadat bukan Islam.
PETALING JAYA:
Sebarang program membabitkan pelawaan kepada umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di Perak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), kata Menteri Besar Saarani Mohamad.

Jelas beliau, langkah itu perlu berikutan MAIPk merupakan pihak terlibat secara langsung dalam menentukan garis panduan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, menerusi jawatankuasa ini, ia melibatkan perbincangan pelbagai pihak termasuk MAIPk, menteri besar, setiausaha kerajaan negeri, mufti, penasihat undang-undang syariah dan sivil, bekas hakim mahkamah tinggi serta beberapa pihak lain.

“Apa jua keputusan dan arahan pekeliling dikeluarkan jawatankuasa ini seharusnya dipatuhi kerana dibuat individu berilmu serta mempunyai kepakaran dalam agama Islam,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas sama ada Perak akan mengikut langkah Selangor yang tidak membenarkan penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.

Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga ketua Umno Perak berkata, pemilihan di peringkat sayap semua bahagian berjalan lancar selain tiada sebarang insiden dilaporkan mana-mana pihak.

“Semuanya berlangsung dengan baik meskipun ada beberapa bahagian terpaksa mengambil masa agak lama untuk selesaikan (pemilihan) kerana bilangan anggota mesyuarat dan calon bertanding agak ramai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, walaupun berlaku perubahan di beberapa sayap bahagian namun ia tidak menjejaskan keharmonian malah memperlihatkan amalan demokrasi itu terus subur di dalam kepimpinan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.